TUMPAT: Seorang wanita yang ditahan selepas cuba menyeludup 95 liter minyak diesel di tepi jalan Chabang Empat di sini semalam memberi alasan dia terpaksa melakukan kegiatan salah itu kerana mahu membeli baju raya.
Suspek berusia 30-an itu ditahan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada pukul 1 petang menerusi Ops Bersepadu Pencegahan Penyelewengan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, terdahulu anggota bertugas mengekori suspek sejauh dua kilometer sebelum berjaya menahan kereta jenis yang jenis Proton Waja dipandu wanita berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 95 liter diesel di dalam tong jerikin dan tangki tambahan yang telah diubah suai pada kenderaan tersebut.
“Siasatan awal suspek mengaku membuat pembelian pengisian kedalam tangki ubahsuai kenderaan secara berulang di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini.
“Kes ini disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azman memberitahu, operasi mencegah ketirisan barangan kawalan akan terus diperhebatkan dalam usaha membendung aktiviti tersebut.-UTUSAN










