Sampel kedua kupang masih mengandungi biotoksin berbahaya

Sampel kedua kupang masih mengandungi biotoksin berbahaya

PENTERNAKAN kupang yang diusahakan di kawasan Pasir Panjang, Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Analisis makmal terhadap sampel kedua kupang yang diambil dari kawasan penternakan kupang di Pasir Panjang di sini masih mengesan wujudnya biotoksin berbahaya pada kupang terbabit.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, hasil keputusan analisis makmal yang sudah dihantar ke Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur pada 8 April lalu itu telah mengesan keputusan positif biotoksin melebihi had pengambil selamat untuk manusia iaitu 800 bahagian per bilion (ppb).

“Sampel kedua masih positif biotoksin bagaimanapun kadar biotoksin lebih rendah daripada dari sampel pertama tetapi masih melebihi had pengambilan selamat untuk manusia iaitu 800 ppb.

Memuatkan artikel berkaitan…

Oleh itu kami masih lagi meminta untuk tiada pengambilan kupang dari perairan Port Dickson.

“Hari ini (semalam) kami ambil sampel sekali lagi untuk ujian kali ketiga dan keputusannya dijangka dapat diketahui pada hari Jumaat minggu ini,” katanya ketika dihubungi.

Pada 4 April lalu, kupang di perairan Port Dickson disahkan dicemari biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan hasil analisis makmal yang dijalankan oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur di kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.

Sehubungan itu, ­pihaknya menyarankan kupang dan dwi­cengkerang lain seperti kerang di perairan Port Dickson tidak selamat dimakan meminta masyarakat tidak mengambil kerang-kerangan perairan tersebut.

Jabatan Perikanan juga mengambil tindakan penguatkuasaan dengan tidak membenarkan kerang-kerangan di Port Dickson dikeluar dan dijual di pasaran awam.

Katanya, pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan dilakukan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan.

Menurutnya, tempoh masa seminggu untuk ujian makmal semula akan dilakukan namun pihaknya akan mengambil masa selama 20 hari dan selepas itu jika dua kali analisis mendapati ia selamat, Jabatan Perikanan akan mengisytiharkan kerang-kerangan kawasan itu selamat untuk dimakan.

Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian keracunan tersebut mula dikesan pada 1 April lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima makluman dari pihak Hospital Port Dickson.

Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa buah keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar Port Dickson.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini