KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), di sini akan dijenamakan semula sebagai Pusat Jantung Negara Sabah bagi memenuhi keperluan rawatan jantung di negeri ini.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan RM80 juta untuk menaik taraf HQE2 menjadi hospital pakar jantung, menjadikan Sabah memiliki kemudahan rawatan pakar jantung kedua di negara selepas Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
“Saya umum supaya kemudahan khas atau lot khas untuk jantung negara yang disebut Pusat Jantung Negara Sabah disediakan di Sabah.
“Dengan ini kita akan tambah seramai tiga orang pakar dan 120 orang tenaga sokongan terlatih membabitkan peruntukan sebanyak RM 80 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam.
Anwar berkata, penubuhan pusat tersebut dilakukan setelah mengambil kira masalah kesihatan rakyat di Sabah yang terpaksa menaiki penerbangan mendapatkan rawatan penyakit jantung di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, di Sarawak, atas cadangan Premier Sarawak, kerajaan bersetuju memberi dana awal menubuhkan Institut Kanser Sarawak di Kuching.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah institut kanser di negeri berkenaan.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, masalah kemiskinan tegar di Sabah akan cuba dinoktahkan seboleh-bolehnya tahun ini.
Beliau berkata, meskipun masalah kemiskinan di Sabah agak parah, beliau yakin ia dapat diselesaikan menerusi kerjasama semua agensi persekutuan dan negeri.
Majlis sambutan Aidilfitri Madani itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN










