TANGKAK: Seorang remaja lelaki maut, manakala lima lagi terselamat dalam kemalangan di Jalan Naib Long, Kampung Padang Lerek 1, dekat sini malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz, kemalangan berlaku pada pukul 10.24 malam.
“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan sebuah kereta Proton Wira. Remaja lelaki, Ahmad Naufal Danish berusia 15 tahun yang menunggang motosikal dari arah Bukit Kecil ke Bandar Tangkak maut di tempat kejadian.
“Mangsa dipercayai berada di jalan utama manakala kenderaan Proton Wira keluar dari simpang jalan.Lima orang berada dalam kereta Proton Wira dengan tiga daripada mereka mengalami kecederaan, namun tidak tersepit.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Tangkak sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dikejarkan ke tempat kejadian bersama dua jentera diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Aminuddin Muhamad Rawi.
Operasi ditamatkan pada pukul 11.19 malam. – UTUSAN










