RANTAU PANJANG: Seramai 200 penduduk merebut pahala berganda di bulan Ramadan dengan menyertai Tadarus dan khatam al-Quran Perdana di Masjid Jamek Jubli Perak Sultan Ismail Petra Rantau Panjang, semalam.
Imam tuanya, Mohamad Sabri Abdul Ghani berkata, acara tahunan itu bertujuan menyuburkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat.
“Selain mendapat pahala berganda membaca al-Quran di bulan Ramadan, program ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim dengan penduduk setempat.
“Menariknya, program ini turut disertai oleh imam-imam mukim sekitar Rantau Panjang dan pelajar tahfiz,” katanya ditemui pemberita di sini semalam.
Mohamad Sabri memberitahu, pihak masjid turut menyembelih lima ekor kambing sebagai hidangan semasa berbuka puasa.
Sementara itu, seorang peserta, Siti norma Latif, 60, berkata, setiap kali program tadarus dan khatam al-Quran berlangsung dia akan menyertainya sebagai tanda sokongan.
Katanya, kesempatan membaca al-Quran di bulan Ramadan tidak boleh dipersiakan kerana ganjaran pahala cukup besar.-UTUSAN










