KUALA PILAH: Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin, 62, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, petang tadi.
Perkara itu disahkan oleh anak bongsunya, Muhammad Hafiz Mohd. Rosli, 26, yang memaklumkan arwah bapanya itu menghembuskan nafas terakhir selepas ditidurkan di hospital itu akibat jangkitan kuman.
Menurutnya, dia segera pulang ke rumah bapanya di Kampung Dioh di sini selepas dihubungi ibu tirinya kira-kira pukul 4.40 petang semalam yang memaklumkan keadaan bapanya yang longlai serta dalam keadaan berpeluh.
“Saya tinggal berhampiran rumah bapa dan segera ke sana. Sebaik sampai saya hantar bapa ke klinik swasta berhampiran untuk pemeriksaan namun pihak klinik mendapati semua dalam keadaan baik namun merujuk kes untuk segera ke hospital.
“Sebaik sampai bapa dimasukkan ke wad kecemasan dan ditidurkan. Sekitar pukul 1 pagi, dia dimasukkan ke wad biasa dan pagi tadi berada dalam keadaan stabil, namun kembali kritikal pada pukul 3 petang tadi dan kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Ujar Muhammad Hafiz, arwah bapanya itu baharu pulang dari Indonesia pada bulan Februari lalu dan dalam proses menyiapkan buku berkenaan adat Melayu dua negara.
Menurutnya, arwah bapanya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dioh Besar selepas solat Isyak hari ini ini. Arwah meninggalkan seorang isteri dan tujuh orang anak termasuk tiga orang anak tiri.
Dalam pada itu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (ATMA) menerusi Facebook menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham
“Seorang lagi tokoh hebat tanah air, Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (Mantan Felo Penyelidik ATMA, UKM) telah pergi meninggalkan kita setelah menghembuskan nafas terakhir petang ini di bulan yang mulia, 4 April 2024 bersamaan 24 Ramadan 1445H.
“Seluruh warga ATMA mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Prof. Madya Datuk Paduka. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” kata institut itu.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Raja Teromba merupakan bekas pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan terkenal sebagai pakar rujuk dalam hal ehwal Adat Perpatih.
Allahyarham dinobatkan oleh kerajaan sebagai Warisan Kebangsaan bagi kategori Orang Hidup pada tahun 2018.-UTUSAN.









