Puntung rokok antara punca kebakaran belukar, lalang, sampah di LTU Lipis-Merapoh - Utusan Malaysia

Puntung rokok antara punca kebakaran belukar, lalang, sampah di LTU Lipis-Merapoh

ANGGOTA bomba sedang mengawal dan melakukan pemadaman kebakaran di sebuah belukar berdekatan jalan raya di Lipis, Pahang - FOTO/BALAI BOMBA KUALA LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Laluan Lingkaran Tengah Utama (CSR) Lipis-Merapoh antara lokasi kerap berlaku kebakaran melibatkan belukar, lalang dan sampah antara 20 kes kebakaran dilaporkan berlaku di daerah ini sejak Mac lalu.

Hasil pemantauan anggota bomba dan maklumat orang ramai, punca kebakaran disebabkan puntung rokok, pembakaran sampah terbuka, elektrik, permainan mercun dan bunga api.

Ketua Balai Bomba Kuala Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, daripada jumlah itu, 14 kes kebakaran belukar, lalang dan sampah manakala enam disebabkan mercun dan bunga api.

“Kes kebakaran ini meningkat awal tahun ini berbanding kurang daripada 10 kes tahun lalu telah berlaku tempoh yang sama di kawasan laluan CSR Lipis ke Merapoh, Pagar Sasak, Merapoh dan Jalan Benta-Lipis.

“Kejadian kebakaran semakin meningkat walaupun tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan penduduk, tetapi membimbangkan semua pihak dan perlu ada kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang bencana ini lebih-lebih lagi ketika keadaan cuaca panas dan kering,” katanya di Balai Bomba Kuala Lipis di sini hari ini.

Haslizan berharap orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka sampah, manakala hindarkan sikap membuang puntung rokok di tepi jalan yang dipenuhi rumput dan lalang kering atau berdekatan kawasan belukar.

“Pada musim perayaan ini, ibu bapa dan penjaga diminta memantau aktiviti pembakaran mercun dan bunga api yang boleh mengundang kebakaran rumah dan sebagainya,” katanya

Selanjutnya beliau berkata, penduduk juga perlu sedar tentang penggunaan elektrik, iaitu mengurangkan sambungan sementara supaya tidak membebankan kuasa elektrik.

“Pengguna juga diminta memastikan perkakasan elektrik di dapur dan dalam premis dalam keadaan selamat dan segera membaiki sekiranya berlaku kerosakan.

“Suri rumah tangga juga dinasihatkan supaya jangan memasak ketika mengantuk dan memastikan api dapur ditutup selepas memasak atau beredar dari tempat memasak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN