Program HEART percepat pembedahan di hospital kerajaan - Utusan Malaysia

Program HEART percepat pembedahan di hospital kerajaan

Dzulkefly Ahmad (kanan) diiringi Presiden Management and Science University (MSU), Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (dua dari kanan) melawat pameran selepas melancarkan Program Healthcare Equity for Affordable and Rapid Treatment (H.E.A.R.T) di Dewan Canselor MSU Shah Alam. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM-Masa menunggu untuk pembedahan yang lama bagi pesakit di hospital kerajaan boleh dipercepatkan kurang daripada tempoh tiga hingga sembilan bulan hasil kerjasama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan hospital swasta di negara ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.Dzulkefly Ahmad, sehubungan dengan itu pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama dengan Management & Science University (MSU), MSU Medical Centre (MSUMC) dan Yayasan MSU (YM) bagi menjayakan objektif tersebut menerusi program ‘Healthcare Equity for Affordable and Rapid Treatment’ (H.E.A.R.T).

“Mengikut statistik program H.E.A.R.T yan beg bermula daripada 18 Mac hingga 23 April lepas, sebanyak 16 kes telah dilaksanakan.

“Pihak KKM menyedari kepentingan kerjasama Awam Swasta atau ‘Public Private Partnership’ (PPP) yang bermatlamat untuk memperkasakan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada golongan M40 dan B40,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran H.E.A.R.T
yang turut dihadiri Pengasas MSUMC dan Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid di MSU Seksyen 13 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata,kerjasama strategik tersebut membolehkan golongan M40 dan B40 mendapat manfaat perkhidmatan dengan kos yang optimum, aspek penjagaan kesihatan yang berkualiti dan canggih dalam masa yang lebih singkat.

Katanya lagi, program H.E.A.R.T menyaksikan MSUMC berperanan sebagai hospital kluster dan zon ‘buffer’ kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Shah Alam (HSA) serta Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang dalam menangani kes-kes tertentu kesihatan yang memerlukan pembedahan.

“Di antara perkhidmatan ‘surgical’ percuma yang disediakan termasuklah Inguinal Hernia Repair Procedure dan Laparoscopic Cholecystectomy.

“Selain itu, perkhidmatan kesihatan lain yang disediakan ialah penginapan wad kelas pertama, tempoh menunggu yang lebih singkat serta perlindungan daripada kos-kos pembedahan yang lain,”katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemilihan, penilaian dan rawatan susulan jangka panjang pesakit yang mengikuti program H.E.A.R.T akan dilakukan oleh KKM.

Manakala bagi aspek pembiayaan dan kos pembedahan jelasnya lagi,akan melibatkan model pembiayaan oleh Yayasan MSU dan KKM sendiri.

Sementara itu Mohd. Shukri berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 50 kes dapat diselesaikan di bawah program H.E.A.R.T. dalam tahun ini.

Jelasnya lagi, berapa banyak kes dapat diselesaikan bukanlah isu jika pihak YM mampu membiayai kos rawatan atau pembedahan seseorang pesakit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×