KOTA BHARU: Dianggarkan lebih RM100 juta mengalir masuk ke negeri ini dalam tempoh seminggu bermula 5 hingga 13 April lalu berikutan kepulangan anak-anak Kelantan dari perantauan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Jumlah itu mengambil kira seorang atau satu keluarga berbelanja minimum RM1,000 melibatkan 100,000 perantau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Madya Dr. Azwan Abdullah berkata, kepulangan anak-anak perantau ini mampu membawa fenomena positif kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Menurutnya, situasi itu dapat dilihat melalui sektor perniagaan terutama makanan, pakaian dan barang keperluan untuk menyambut lebaran.
“Kepulangan mereka (perantau) bersama wang tunai yang telah disimpan semasa berkhidmat di luar Kelantan sama ada dalam bentuk gaji, bonus, simpanan dan sebagainya.
“Jadi, wang tersebut digunakan untuk membeli barang keperluan, perkhidmatan dan sebagainya sepanjang berada di kampung,” katanya.
Azwan memberitahu, kepulangan perantau turut membuka peluang pekerjaan bersifat sementara dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu e-hailing, pembantu restoran dan sebagainya.
Katanya, sektor perkhidmatan seperti inap desa turut menerima impak.
Perantau, Rohani Abdullah, 45, berkata, setiap kali pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri, dia akan berbelanja sekitar RM1,000 untuk membuat persiapan menyambut kedatangan sanak-saudara sepanjang meraikan lebaran.
Jelasnya, selain itu wang turut digunakan untuk menghias rumah keluarga supaya kelihatan lebih ceria.
“Bagaimanapun, semua itu saya lakukan secara berhemat supaya setiap perbelanjaan yang dikeluarkan tidak membazir,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga kedai runcit, Zakiah Abdullah, 50, berkata, kepulangan perantau menyebabkan dia terpaksa menambah stok barangan keperluan agar mampu menampung permintaan.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia tidak menang tangan melayan pelanggan terutama anak-anak perantau yang singgah ke kedai runcitnya bagi mendapatkan barangan keperluan harian. – UTUSAN








