Penoreh getah maut dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Penoreh getah maut dirempuh kereta

NAHAS membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Besar Palong 9,10,11, Jempol petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang penoreh getah maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan dalam nahas di Jalan Besar Palong 9,10,11, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan kira-kira pukul 3.45 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun bersama ibunya berusia 56 tahun dalam perjalanan dari arah Palong 4,5,6 menuju ke Palong 9,10,11.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, dipercayai kereta tersebut telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal yang ditunggang lelaki berusia 47 tahun menyebabkan kereta terbabit telah terbalik di bahu jalan arah bertentangan.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta itu pula mengalami kecederaan patah tangan kiri serta penumpang tersebut mengalami kecederaan patah tangan kanan dan luka-luka di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ujar Chang Hook lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd. Amirul Syafiq Mohd. Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN