SEGAMAT: Para peniaga Bazar Ramadan Bandar Utama, di sini berdepan detik cemas apabila beberapa kanopi gerai diterbangkan ribut petang semalam.
Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, ribut disertai hujan lebat membuatkan para peniaga dan pelanggan menyelamatkan diri ke tempat selamat.
Seorang peniaga, Fify Fiezuan Mahmood, 37, kejadian berlaku ketika mereka sibuk melayan pelanggan di gerai masing-masing.
“Tiba-tiba terdengar bunyi petir dan ribut disusuli hujan lebat selama lebih kurang 30 minit. Ramai peniaga melaungkan azan kerana keadaan ribut dan hujan yang sangat kuat.
“Dalam masa yang sama, saya cuba menyelamatkan barang-barang niaga masuk ke tengah khemah dan berlari menyelamatkan diri ke kaki lima kedai berhampiran kerana keadaan ribut yang terlalu kuat,” katanya ketika ditemui di Taman Laksamana, di sini.
Akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian kira-kira RM1,500 apabila khemah serta beberapa peralatan perniagaan rosak.
“Walaupun diuji dengan dugaan ribut ini, saya amat bersyukur kami semua peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan. Kami anggap ini adalah ujian serta dugaan dari Allah pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan daripada beberapa peniaga, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, Kuantan, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin), Melaka dan Johor (Tangkak, Segamat dan Muar).
Tidak ketinggalan di Sarawak di bahagian Betong, Sarikei, Sibu, Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang hingga hari ini. – UTUSAN










