Pengarah syarikat kayu balak dakwa bagasi RM500,000 miliknya

Pengarah syarikat kayu balak dakwa bagasi RM500,000 miliknya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah sebuah syarikat kayu balak me­ngakui bagasi berisi RM500,000 yang ditemukan oleh seorang pengawal keselamatan di parkir kereta sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 19 Mac lalu adalah miliknya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan tampil memberikan keterangan sekitar pukul 5 petang di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Katanya, menurut lelaki itu, wang RM500,000 itu adalah wang yang dipinjam daripada rakan bagi tujuan pelaburan tahun lalu.

“Pengadu ingin memulangkan wang tersebut kepada rakannya tetapi tidak menyedari bagasi itu tertinggal di parkir pusat beli-belah tersebut.

“Individu terbabit perasan dia sudah membawa masuk bagasi berkenaan bersama sebuah lagi beg ke dalam kereta dan terus pulang ke rumah.

“Namun dia kemudian menyedari apabila hendak me­ngambil bagasi berisi wang itu tiada di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, menurut Hus­sein, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod bukti yang mengatakan wang itu adalah milik syarikatnya.

“Siasatan terhadap tuntutan itu masih diteruskan. Prosedur selepas ini adalah individu terbabit perlu datang semula untuk memberi keterangan lanjut termasuk sumber wang terbabit,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemukan bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Pengawal keselamatan ber­kenaan kemudian membuat laporan polis berkaitan pe­nemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira pukul 8 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×