SUNGAI PETANI: Kira-kira 1,500 penduduk Taman Universiti Fasa 2, Semeling di sini tertekan apabila masalah bekalan air yang membelenggu mereka sejak enam tahun lalu menjadi semakin teruk.
Dakwa penduduk, jika dahulu bekalan air bersih masih boleh didapati pada waktu malam tetapi sejak awal Januari lalu, ia terputus terus menyebabkan kehidupan mereka dihimpit resah hingga mengganggu aktiviti seharian.
Suri rumah, Siti Namira Mohd. Zainol, 40, berkata, sejak itu mereka terpaksa bergantung kepada bekalan air yang dihantar oleh kontraktor Syarikat Air Darul Aman (SADA) setiap dua hari sekali.
“Tetapi penghantaran air melalui lori tangki ini juga bermasalah kerana catuan air dibuat pihak kontraktor hingga bekalan air tidak pernah mencukupi untuk kegunaan harian.
“Lebih teruk lagi, kami terpaksa berhabis duit membeli air bersih untuk diminum kerana air yang dihantar ini hanya sesuai untuk mandi dan membasuh,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut ibu kepada empat anak yang kesemuanya masih bersekolah itu, paling sedih adalah ketika menjalani ibadah puasa baru-baru ini apabila terpaksa berdepan ketiadaan air berikutan kontraktor gagal menghantar bekalan mengikut jadual.
Bagi Suhaila Saad, 37, dia terkilan dengan sikap kontraktor dilantik SADA yang bersikap sambil lewa ketika menghantar bekalan ke rumah mereka.
“Disebabkan jadual penghantaran tidak menentu, saya dan jiran lain terpaksa membuang masa menunggu ketibaan lori membawa air.
“Keadaan ini menyebabkan kami tidak boleh buat apa-apa semata-mata mengharap bekalan air daripada lori tangki itu sebaliknya terpaksa mengangkut air dari rumah saudara-mara terdekat untuk kegunaan harian,” katanya.
Safuaz Mohd. Ghazali, 53, pula berkata, sambutan hari raya tahun ini kurang meriah tanpa kehadiran saudara terdekat berikutan berdepan masalah bekalan air. – UTUSAN










