KOTA BHARU: Tindakan dua pemandu yang mengambil dadah semata-mata untuk mengejar trip menjelang sambutan Aidilfitri mengundang padah apabila dia ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di terminal bas Lembah Sireh di sini pada 4 April lalu.
Kedua-dua suspek yang berusia 40-an itu ditahan JPJ menerusi Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 semasa mengambil penumpang untuk ke Kuala Lumpur.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua pemandu dari syarikat yang berbeza positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, hasil soal siasat kedua-dua suspek mengakui mengambil dadah tersebut untuk mengelak daripada mengantuk kerana mahu mengejar trip sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Kedua-dua pemandu tersebut kemudian diserahkan kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
“Selepas ditahan, syarikat berkenaan telah bertindak menggantikan pemandu tersebut bagi memastikan perjalanan dapat diteruskan,” katanya semasa sidang media Penutup Operasi Penguatkuasaan HRA 2024 di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur di sini sebentar tadi.
Mohd. Misuari memberitahu, tindakan itu diambil bagi memastikan penumpang tidak berdepan risiko bahaya kerana pengambilan bahan terlang tersebut boleh mengancam nyawa.
Katanya, penahanan kedua-dua lelaki itu merupakan kes pertama direkodkan selepas dua tahun.
Mohd. Misuari berkata, orasi tersebut diadakan bermula 1 hingga 20 April melibatkan pelbagai agensi antara AADK, Polis, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).-UTUSAN









