REMBAU: Hujan lebat berterusan sejak pukul 5 petang tadi menyebabkan pekan Kota, di sini dilanda banjir kilat yang menyebabkan lebih tujuh buah kedai terjejas.
Salah seorang peniaga yang ditemui, Muhammad Yusri Johari, 32, berkata, kejadian itu menyebabkan kedai menjual pakaian serta kasut terpakainya dinaiki air banjir separas 0.6 meter sehingga menyebabkan dia mengalami kerugian sekitar RM500.
“Sudah lama tidak banjir kilat di sini, kali ini hujan terlalu lebat dan ditambah pula keadaan longkang di hadapan kedai kami yang sudah mendap dengan pasir menyebabkan air melimpah masuk ke dalam kedai.
“Tiga tahun lalu, kawasan ini memang selalu banjir kilat dan sebagai langkah mengelak air masuk ke dalam kedai, kami sudah pun meninggikan bahagian hadapan kedai bagaimanapun air agak tinggi dan kami terpaksa membersihkan kedai yang dilanda banjir,” katanya hari ini.
Bagi seorang lagi peniaga Mohamad Ismail Lebai Sulaiman, 62, dia sudah enam tahun berniaga di pekan berkenaan dan aduan mengenai keadaan longkang sudah pun diketengahkan oleh peniaga.
“Kali ini air banjir masuk ke dalam kedai dobi dan kedai runcit saya, kejadian ini agak teruk dan mujurlah ada beberapa barang yang sempat saya selamatkan namun masih ada juga basah terkena banjir,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi (PBT), Zaini Saleh berkata, air mulai naik sekitar pukul 6.15 petang dan mulai surut pada pukul 8.15 malam.
“Tiada pemindahan mangsa di lokasi dan keadaan terawal. Pasukan bomba akan terus buat pemantauan dari masa ke masa,” katanya.-UTUSAN.










