KOTA BHARU: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaikinya semasa mencandat sotong di sekitar kawasan Pantai Mek Mas, Kuala Besar, di sini petang tadi.
Mangsa, Muhamad Nursyarif Mat Nasir, 28, disedari hilang selepas seorang penduduk tempatan melihat bot yang dinaikinya seorang diri berada di tepi pantai tersebut kira-kira pukul 6.50 petang.
Ibunya, Rosiah Zainal Abdin, 46, berkata, Muhamad Nursyarif sudah turun ke laut bersama bapanya, Mat Nasir Jusoh, 70, kira-kira pukul 7 pagi tadi sebelum mereka pulang ke rumah pada pukul 12 tengah hari.
Menurutnya, selepas menunaikan solat zuhur dan makan tengah hari, anaknya keluar semula dari rumah seorang diri untuk mencandat sotong kira-kira pukul 2 petang.
“Selepas hampir lima jam Muhamad Nursyarif keluar, seorang penduduk kampung datang ke rumah dan memaklumkan bot yang dinaiki anak saya berada di tepi pantai.
“Bagaimanapun, dia tiada di dalam bot tersebut. Ada yang mengatakan anak saya jatuh ke dalam laut semasa mengeluarkan air yang masuk ke dalam bot,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Rosiah memberitahu, dia terkilan dengan kejadian itu kerana sebelum kejadian anaknya bersungguh-sungguh tidak mahu keluar semula ke laut tanpa berteman.
“Kebiasaannya, saya akan menemaninya ke laut jika dia turun sendirian untuk menangkap ikan atau mencandat sotong,” ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Che Mazlan Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.15 malam sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Mangsa masih belum ditemui dan anggota bomba sedang menjalankan SAR untuk mengesan lelaki itu,” katanya.-UTUSAN










