PETALING JAYA: Insiden pertembungan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 kru dan penumpang di Lumut, Perak hari ini adalah satu tragedi malang.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, satu lembaga penyiasatan akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.
Katanya, penubuhan lembaga penyiasatan adalah satu keperluan bagi menjalankan siasatan dalam insiden sedemikian.
“Bila tragedi sebegini berlaku, kita memang berasa amat sedih. Ia satu (tragedi) yang amat malang.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa. Dan lazimnya, kita akan tubuhkan lembaga penyiasatan,” katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Combat Shooting Club and Combat Adventure Fields di KL Base, di sini, hari ini.
Seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang sedang dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM KLe-90.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak semalam sebagai satu berita menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa terlibat dalam nahas dua helikopter milik TLDM tersebut.
“Hari ini (semalam) saya dan seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita sedih nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut yang membawa 10 kru ketika melakukan latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90.
“Salam takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut. Marilah kita berdoa semoga Allah SWT memberikan mereka kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian kehilangan ini,” katanya. – UTUSAN










