Mohamad Amir mahu bina rumah di kampung - Utusan Malaysia

Mohamad Amir mahu bina rumah di kampung

NOOR AHMADI Hamdan (kiri) bergambar kenangan bersama Komander Mohamad Amir Mohamad sewaktu menyertai satu operasi pada 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Salah seorang mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Mohamad Amir Mohamad, 44, berhasrat membina rumah di Felcra Bukit Kepong, dekat sini apabila bersara kelak.

Menurut Pegawai Waran I (B) Noor Ahmadi Hamdan, 42, yang merupakan rakan sekampung serta rakan seuniform dalam TLDM pernah memberitahunya  ingin mendirikan rumah di kampung halaman mereka.

“Arwah Amir pernah memberitahu dia mencari tanah kosong untuk didirikan rumah sebagai perancangan selepas pencen kelak. Dia menjadi tulang belakang keluarga dan banyak bantu keluarganya. Segalanya, dia akan dahulukan keluarganya.

“Al-fatihah buat sahabat saya, Mohamad Amir. Ada empat orang di kampung kami termasuk saya yang masuk tentera laut.  Seorang masuk Agensi Maritim Malaysia (APMM), seorang telah meninggal dunia sebelum ini dan sekarang Amir pula meninggalkan kita,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anak jati Felcra Bukit Kepong itu mengakui banyak kenangan semasa dia berkhidmat dalam TLDM dan berjumpa Mohamad Amir sewaktu menjalani operasi ketenteraan seperti Op Daulat, Op Benteng dan di Pangkalan Lumut.

“Saya bangga ada sahabat seperti Komander Amir. Walaupun kami berbeza pangkat tetapi dia tetap merendah diri seperti di kampung. Namun, kalau beruniform saya tetap hormat dia sebagai Pegawai Kanan TLDM dan banyak juga tunjuk ajar daripada dia.

“Dia juga banyak bagi semangat sampai saya pencen. Tak terbalas jasa dia, terima kasih Amir, orang baik macam dia Allah sayang,” katanya hiba.

Noor Ahmadi berkata, perjuangan Mohamad Amir sebagai perwira negara tetap dikenang sampai bila-bila dan menjadi kebanggaan dalam lipatan sejarah anak-anak Felcra Bukit Kepong.

“Dia seorang pegawai yang tegas tetapi tidak pernah meninggi suara kepada anak buahnya. Dia juga sangat menghormati rakan seperjuangan tidak kira pangkat. Dia sangat cintakan kariernya sebagai tentera laut sehingga dia ‘pergi’ juga ditakdirkan sewaktu sedang bertugas untuk negara,” katanya.

Mohamad Amir merupakan Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM dan juga juruterbang pesawat Fennec (M502-6) bergesel dengan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) sebelum terhempas semasa menjalani raptai di Lumut, Perak semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN