‘Misi gila’ bawa keluarga Nadir keluar dari Semenanjung Gaza

‘Misi gila’ bawa keluarga Nadir keluar dari Semenanjung Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibarat bermimpi, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman tidak menyangka dapat berjumpa semula dengan isteri dan anak-anaknya menje­lang sehari sebelum umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketika menceritakan pengalaman itu, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, beliau sebelum itu dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi untuk pergi ke sebuah lokasi rahsia tanpa memaklumkan kepada sesiapa, selain Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu langsung tidak mengetahui mengenai misi membawa pulang keluarganya.

“Sejak awal peperangan beliaulah (Farhan) yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.

“Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan Dr. Sani (Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Islam Malaysia, Dr. Ahmad Sani Abdul Alim Araby) sahaja dibenarkan ke sana. Allahuakbar. Ada apa pula ini? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” kongsi beliau menerusi satu hantaran dalam media sosial, kelmarin.

Menurut Muhammad Nadir Al-Nuri, beliau mengakui pernah merasai situasi peperangan Gaza dan menyaksikan banyak rakyat Palestin terkorban, namun misi membawa anggota keluarganya keluar daripada kawasan bergolak itu bukanlah satu kerja mudah di saat bedilan roket dan hentaman bom bertalu-talu oleh tentera Israel.

Sambil menyifatkan usaha itu sebagai satu ‘misi gila’, beliau menegaskan watak utama percaturan adalah hasil usaha dan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain. Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1,001 cabaran tersirat. Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan.

“Tetapi watak utama dalam ‘misi gila’ ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri! Suka beliau atau tidak, dalam soal Palestin umat perlukan satu ketumbukan. Palestin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Recep Tayyip Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti,” kongsi beliau.

Ujarnya, tindakan Perdana Menteri menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan Malaysia, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hamas dan berpendirian di hadapan Canselor Jerman menjadikan nama Malaysia disebut-disebut di peringkat antarabangsa.

“Untuk PMX, Pejabat Perdana Menteri dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Semoga Allah sahaja membalas jasa semua, amin,” luahnya.

Dalam pada itu, Anwar menzahirkan kesyukuran kerana Muhammad Nadir Al-Nuri dapat bertemu semula dengan keluarganya.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan kerajaan republik itu di atas kerjasama yang diberikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN