KOTA TINGGI: Mayat seorang lelaki yang disyaki lemas ketika memancing bersama-sama rakannya di sungai Gunung Panti, dekat sini petang tadi dibawa keluar menaiki helikopter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Shawaluddin Ami Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan bagi bantuan pada pukul 1.03 petang.
Seramai 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian termasuk sebuah helikopter Agusta AW189-1.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia adalah lelaki dewasa berusia dalam lingkungan 40-an, manakala lagi rakannya selamat.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa yang dikhuatiri lemas ketika sedang membuat aktiviti memancing bersama tiga rakan di sungai Gunung Panti mengikut maklumat pihak polis.
“Ekoran itu pihak polis memohon bantuan helikopter kerana tiada akses untuk mengeluarkan mangsa tersebut. Unit udara bomba telah mengeluarkan mangsa dan menurunkan di padang awam Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 2.20 petang. – UTUSAN










