IPOH: Keterujaan seorang ibu yang seronok mengambil gambar keluarga pada hari raya, menjadi antara kenangan empat adik-beradik setelah ibu mereka itu pergi buat selama-lamanya.
Ibu mereka, Noor Rahiza Anuar, 39 tahun, menjadi antara 10 orang yang terkorban dalam tragedi dua buah helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dekat sini pagi semalam.
Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor, 16 tahun, anak paling sulung berkata, ibunya yang dipanggil mama begitu seronok mahu mengambil gambar pada awal Syawal sebelum sibuk dengan persiapan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia yang ke-90.
“Masa hari raya, dia yang paling seronok tangkap gambar semua. Papa cakap, tengok mama hang itu, excited sangat. Mama kata tak apalah, mana tahu ini raya terakhir, boleh simpan buat kenangan,” kata Qistina.
Dia berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di luar pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, di sini malam tadi.
Memahami tugas Noor Rahiza sebagai seorang anggota pasukan keselamatan, Qistina sendiri kadangkala jarang bersama ibunya terutama menjelang hari tentera laut.
“Mama sekarang Navy Day, sibuk. Kadang-kadang pergi pagi, balik malam. Malam pun bila kami pergi tuisyen, balik mama dah tidur,” katanya.
Dia bersama adik-beradiknya hadir ke HRPB dan berpeluang menatap ibunya. Katanya jenazah ibu mereka masih dalam keadaan baik dan hanya mengalami patah rahang.










