KOTA BHARU: Polis Kelantan mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan terutama di Kampung Tersang dan Jeram Perdah, Rantau Panjang di sini susulan kejadian letupan bom dan insiden berbalas-balas tembakan yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat awal pagi tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berpandukan kepada maklumat awal kes tersebut melibatkan serangan ke atas pasukan keselamatan di negara berkenaan.
“Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden ini. Bagaimanapun kes letupan ini berlaku amat dekat dengan negara kita.
“Jadi kawalan sempadan melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) akan terus diperketatkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, Polis Kelantan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam mendapatkan maklumat terkini berkait dengan insiden berkenaan.
Katanya, anggota yang berada di kawasan sempadan sudah digerakan untuk membuat risikan berkaitan kejadian berkenaan.
“Sekiranya ada bantuan yang boleh dibantu, kita akan membantu kerana polis di Thailand juga adalah rakan kita,” ujarnya
Terdahulu, tular klip video berkait insiden berkenaan selepas dimuat naik oleh penduduk tempatan menerusi laman sosial.
Penduduk di sekitar Rantau Panjang turut mendakwa selain letupan dia mendakwa turut mendengar insiden berbalas tembakan di kawasan berkenaan.-UTUSAN










