Lelaki Bangladesh didakwa bunuh rakan senegara - Utusan Malaysia

Lelaki Bangladesh didakwa bunuh rakan senegara

LELAKI warga Bangladesh dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong bagi menghadapi pertuduhan membunuh rakannya di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang lelaki warganegara Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Bentong di sini hari ini atas tuduhan membunuh dan menimbus mayat rakannya di sebuah tapak pembinaan di Genting Highlands di sini.

Tertuduh Asraful Mia, 34, mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Nadhratun Naiem Zainan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nazrul Molla antara pukul 3 petang pada 31 Mac lalu hingga 8.30 pagi pada 1 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan pembunuhan berkenaan di tapak pembinaan Anthara Kaya Mas Genting Highlands di sini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun atau dikenakan hukuman disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebutan semula kes dan bagi mendapatkan laporan kimia dan laporan bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×