Lebih 3,000 meriahkan Majlis Riang Ria Raya Aidilfitri Unimap - Utusan Malaysia

Lebih 3,000 meriahkan Majlis Riang Ria Raya Aidilfitri Unimap

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat pada Majlis Riang Ria Raya Aidilfitri universiti berkenaan di Dewan Ilmu, kampus Alam Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Lebih 3,000 dalam kalangan warga Universiti Malaysia Perlis (Unimap) memeriahkan Majlis Riang Ria Raya Aidilfitri universiti berkenaan di Dewan Ilmu, kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini semalam.

Majlis bermula pada pukul 11 pagi sehingga 3 petang itu diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sebanyak 16 gerai disediakan pada majlis itu yang menyajikan pelbagai jenis menu seperti kambing golek, kebab, sate ayam dan daging, lontong, nasi impit, nasi tomato, kurma daging, ayam masak ros, bihun sup, lai ci kang, cendol, teh tarik dan pelbagai juadah istimewa lain.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, majlis berkenaan merupakan acara tahunan sempena Aidilfitri bagi meraikan warga Unimap selain dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama warga universiti berkenaan.

Beliau berharap dengan adanya kepelbagaian menu, dekorasi dewan yang menarik dan persembahan hebat yang disajikan memberikan kegembiraan dan mewujudkan perasaan indahnya Aidilfitri kepada semua warga Unimap.

Katanya, bagi pihak pengurusan tertinggi universiti, beliau menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas sebarang kekhilafan dan kelemahan sepanjang mentadbir Unimap.

“Saya juga berharap selepas ini, kita bersama-sama di pelbagai peringkat jawatan akan memperbaiki dan mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan bagi memastikan Unimap kekal relevan dan berimpak.

“Insya-Allah nama Unimap selepas ini akan lebih gah meniti bibir masyarakat yang mengenali kita kerana kualiti perkhidmatan terbaik yang diberikan kepada anak mahasiswa dan juga warga masyarakat,” katanya berucap pada majlis berkenaan.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan penganjuran majlis berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya