KUANTAN: Lebih 10,000 pelawat industri pelancongan termasuk pengusaha pelancongan dari rantau Asia Tenggara dijangka akan menyertai Malaysia International Tourism Expo (MITE) 2024 Pahang pada Oktober depan.
Acara yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Haji Ahmad Shah (SASICC) di sini, berlangsung selama tiga hari bermula 8 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, MITE 2024 adalah usaha agensi kerajaan dan pemain industri untuk menaikan nama Pahang khususnya Kuantan sebagai hub pertemuan pemain industri.
“Bukan sahaja tempat pelancongan di Pahang, tetapi kita hendak menaikan potensi negeri atau Kuantan sebagai tempat pertemuan seperti kita dulu (sebelum ini), kita selalu menghadiri expo pelancongan di luar negara dan bertemu dengan pemain industri dari negara atau negeri lain.
“Dan di Pahang khususnya di Kuantan ia akan menjadi satu hab baharu untuk pertemuan bagi pemain industri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Tourism Pahang di sini hari ini.
Menurut Yu Man, antara objektif penganjuran acara terbabit untuk menyediakan platform ‘perniagaan kepada perniagaan’ (B2B) kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia.
“Expo ini dapat memupuk kerjasama antara satu sama lain selain menawarkan seminar dan bengkel kepada pemain industri bagi mendapatkan pandangan dan pengetahuan.
“Jadi, untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi mendapatkan sumber dan transaksi perniagaan dalam kalangan peserta pameran serta pembeli.
“Selain itu, ia menggalakan kemapanan, menyokong amalan pelancongan bertanggungjawab yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan budaya dan kesejahteraan penduduk tempatan, memastikan daya maju jangka panjang pembangunan pelancongan di rantau ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pelbagai program dan aktiviti juga dirancang iaitu pameran pelancongan membabitkan penyertaan seluruh negeri di Malaysia, penyertaan dari negara rantau Asia Tenggara dan juga seluruh dunia.
“Penganjuran seminar pelancongan bagi membincangkan isu pelancongan daripada pakar industri pelancongan pelbagai negara.
“Sesi B2B yang memudahkan rangkaian dan interaksi perniagaan dalam kalangan pembeli serta penjual industri pelancongan,” katanya. – UTUSAN










