PORT DICKSON: Analisis makmal yang dijalankan oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap air dan sampel dan kupang di perairan Port Dickson mengesahkan kupang di daerah ini telah dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahata iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
“Pihak jabatan menyarankan kupang dan kerang-kerangan seperti lala, kerang, lokan di perairan Port Dickson tidak selamat dimakan dan kami meminta masyarakat tidak mengambil kerang-kerangan di sini. Kami sekarang mengambil tindakan penguatkuasaan tidak membenarkan kerang-kerangan di Port Dickson dikeluar dan dijual di pasaran awam.
“Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan.
“Kebiasaannya kita mengambil masa seminggu untuk buat ujian makmal semula, namun kami akan mengambil masa selama 20 hari dan selepas itu jika dua kali analisis mendapati ia selamat, kami akan isytiharkan kerang-kerangan kawasan itu selamat untuk dimakan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, cuaca panas terik yang berlaku ketika ini telah menyebabkan alga yang bertoksin itu telah membiak dengan cepat di perairan Port Dickson.
“Kemungkinan tidak ada kaitan dengan pencemaran air laut termasuk terdapat kandungan logam berat,” tambahnya sambil memberitahu hasil laut lain seperti ikan dan sotong dari perairan Port Dickson adalah selamat untuk dimakan.
Wan Muhammad Aznan dalam pada itu memberitahu, terdapat kira-kira 40 orang penternak kupang yang terdapat di Port Dickson iaitu di Kampung Telok dan Sungai Sengkawang di Pasir Panjang.
“Kami telah mengeluarkan arahan untuk penternak untuk tidak mengeluarkan hasil di samping agensi penguatkuasaan seperti Maritim Malaysia dan polis marin serta penguatkuasa Jabatan Perikanan akan berada di lapangan perairan Port Dickson. Pemantauan juga akan dijalankan di pasar-pasar bagi mengelakkan kupang dan kerang-kerangan ini dijual.
“Selain itu, kupang-kupang sedia ada yang belum dituai oleh penternak tidak akan dilupuskan kecuali yang sudah dituai dan berada di pasar, ia perlu dilupuskan,” katanya yang turut memberitahu kajian sampel bagi perairan negeri Melaka dan Johor turut telah dilakukan dan mendapati perairan kedua-dua negeri itu selamat dan tidak ada mempunyai alga toksik tersebut.
Kelmarin, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian keracunan tersebut mula dikesan pada 1 April lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima makluman dari pihak Hospital Port Dickson.
Menurutnya, sebanyak dua kes telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala lima kes dimasukkan ke wad biasa dan satu kes telah dirawat sebagai pesakit luar. Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa buah keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar Port Dickson.
Kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot.
Sementara itu, Wan Muhammad Aznan memberitahu, pihaknya dimaklumkan daripada sembilan kes tersebut hanya seorang sahaja yang masih mendapatkan rawatan di hospital.-UTUSAN.











