Konflik Iran-Israel tidak berlarutan

Konflik Iran-Israel tidak berlarutan

KONFLIK Iran-Israel di Asia Barat dijangka berpanjangan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konflik Iran-Israel di Asia Barat dijangka tidak berpanjangan sebaliknya disifatkan hanya strategi rejim Zionis untuk meniup ‘bara perang’ terhadap Palestin supaya sentiasa kekal menyala.

Pada masa sama, konflik itu juga dilihat akan memberi masa tambahan kepada rejim Zionis untuk meneruskan operasi ketenteraan di Gaza secara berterusan bagi jangka masa lebih panjang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Disiplin dan Strategi Antarabangsa, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, sepatutnya dengan perkembangan terkini rundingan gencatan senjata dan kelesuan tentera Israel selepas tujuh bulan beroperasi di Gaza, peperangan di wilayah tersebut boleh berakhir dalam jangka masa terdekat.

Bagaimanapun, jelasnya, Israel tahu mereka belum mencapai objektif sebenar dalam operasi ketenteraan di Gaza dan perlu memastikan mereka mencapai kemenangan, justeru rejim Zionis perlu lebih masa untuk mencipta konflik baharu supaya dapat memaksa semua pihak terus berperang.

“Biasanya konflik dengan Iran ini hanyalah bersifat pendek dan terbatas. Fokus Israel masih mahu menyelesaikan misi mereka di Gaza tetapi mereka mencipta konflik sampingan untuk meniup api peperangan supaya kekal menyala.

“Dengan bantuan Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara Barat kepada Israel yang sebelum ini sokongannya menurun, perang ke atas Gaza boleh diteruskan selepas ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Iran melancarkan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke arah Israel, mencederakan 12 orang termasuk kanak-kanak.

Pegawai tertinggi AS pula memaklumkan pesawat pejuang AS memintas kira-kira 70 dron, manakala kapal perangnya menjatuhkan empat hingga enam peluru berpandu balistik yang dihala ke negara sekutunya.

Mengulas lanjut, Syed Ahmad Israa’ berkata, Iran juga dilihat tidak mahu terus berkonfrontasi dengan Israel memandangkan negara tersebut mendapat sokongan AS, UK dan negara Barat lain.

“Jika dilihat kepada trend sebelum ini, Iran pun tidak akan melakukan serangan secara all-out kepada Israel, tetapi keadaan boleh menjadi sebaliknya jika ada faktor lain seperti pakatan antara Iran dan Russia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×