Kerajaan salur RM10,000 kepada keluarga mangsa nahas helikopter TLDM - Utusan Malaysia

Kerajaan salur RM10,000 kepada keluarga mangsa nahas helikopter TLDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas selepas bertembung di udara, semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan juga telah menubuhkan tabung khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

“Segala kos perjalanan terakhir meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, lembaga siasatan yang ditubuhkan untuk menyiasat punca nahas telah diarah untuk menyerahkan laporan awal siasatan dalam tempoh 14 hari.

Menurutnya, laporan penuh punca nahas pula perlu diserahkan dalam tempoh 30 hari bekerja.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan hari ini, Kabinet merakamkan ucapan takziah kepada waris pegawai dan anggota TLDM yang terbabit dalam tragedi di Pangkalan TLDM Lumut, Perak itu.

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, dua helikopter milik TLDM jenis Fennec dan HOM-AW139 bertembung di udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut ketika melakukan raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN