RAUB: Terlalu tragis nahas yang menimpa penuntut Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, Nurul Izzati Yunus, 23, dalam kemalangan yang meragut nyawanya di Jalan Jelu-Ulu Gali di sini, malam kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau sendiri tidak cukup kuat dan sebak apabila mendengar cerita bapa mangsa, Yunus Hassan, 66, berhubung insiden terbabit.
“Menurut bapa Nurul Izzati yang memandu Proton Saga BLM, akibat hilang kawalan, keretanya terbabas, melanggar pokok dan sepantas kilat api menyambar kenderaan tersebut.
“Paling memilukan, ketika detik cemas tersebut, ayah dan ibu mangsa cuba menyelamatkan Nurul Izzati dengan menarik mangsa keluar dari kereta, namun gagal kerana api terlalu cepat membakar,” katanya semalam.
Kelmarin, kegembiraan empat sekeluarga meraikan Hari Raya Aidilfitri berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pokok sebelum terbakar.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman dilaporkan berkata, nahas yang berlaku kira-kira 12.45 tengah malam itu menyebabkan Nurul Izzati meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Yunus mengalami cedera ringan; ibu mangsa, Ainar Ibrahim, 61, cedera di bahagian kaki manakala abangnya, Muhammad Nazmi, 29, cedera di leher.
Fadzli berkata, ketika menziarahi Yunus dan keluarganya di Kampung Lechar di sini semalam, ternyata bapa Nurul Izzati masih trauma dengan insiden yang mengorbankan anak bongsu kesayangannya.
“Isteri Yunus dan anak lelakinya masih dirawat di Hospital Lipis dan Hospital Raub.
“Saya doakan mereka sekeluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi kehilangan dan dugaan Syawal tahun ini yang pastinya amat berat untuk ditanggung,” katanya. – UTUSAN










