PASIR MAS: Kemarau yang melanda negeri ini kesan fenomena El Nino menjejaskan pengeluaran getah sekali gus menyaksikan kehidupan penoreh semakin terhimpit.
Walaupun harga getah naik kepada RM4 sekilogram ketika ini, ia tidak banyak membantu apabila kualiti bahan mentah yang dihasilkan itu menurun disebabkan cuaca panas dan kemarau.
Situasi itu menyebabkan penoreh terpaksa mengikat perut untuk tempoh yang lebih lama selepas berdepan dengan musim tengkujuh sejak November tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Wan Md. Zuhaidi Ismail, 58, berkata, kemarau menyebabkan susu getah menjadi cair dan lambat beku sekali gus menjejaskan kualiti bahan mentah tersebut.
“Nampak susu getah penuh dalam bekas tetapi tidak kerana ia sudah bercampur dengan air dari pokok getah,” katanya ditemui di Kampung Kepas Apam di sini semalam.
Md. Zuhaidi memberitahu, sekiranya kemarau berpanjangan berkemungkinan pengeluaran getah akan merosot.
Katanya, ketika ini dia terpaksa memendekkan masa menoreh getah hanya empat jam disebabkan cuaca terlalu panas bermula pukul 7.30 pagi.
“Saya sudah tidak mampu menoreh sehingga tengah hari disebabkan cuaca yang terlalu panas. Tambahan ketika ini umat Islam sedang berpuasa,” ujarnya.
Seorang lagi penoreh, Mariam Seman, 46, mengakui dia terpaksa menukar waktu kerja semata-mata mahu memastikan kantung kewangan tidak terjejas menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Nak menoreh siang hari tidak larat kerana cuaca terlalu panas, selain berpuasa.
“Mahu atau tidak, waktu malam adalah penyelesaian terbaik untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.











