PETALING JAYA: Ayah kepada Muhammad Faris, Mohd. Fairusham Che Mat Zain terpaksa membatalkan semua perancangan balik ke kampung selepas mendapat tahu anaknya terlibat dalam kemalangan di New Zealand.
“Buat masa sekarang, anak saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan melibatkan kemasukan besi pada bahu dan membuang sisa kaca yang ada dalam telinga.
“Saya sekeluarga buat perancangan untuk balik kampung, namun kami terpaksa batalkan perancangan untuk ke New Zealand demi menjaga anak kami yang terlibat dalam kemalangan.
“Kami baru sahaja dihubungi oleh International Student Support, University Wellington, pihak mereka minta salinan pasport dan akan beri tarikh penerbangan untuk kami berlepas ke New Zealand,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mohd. Fairusham mengulas keadaan anaknya yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat lagi pelajar Malaysia di New Zealand, Sabtu lalu.
Kemalangan tersebut melibatkan lima pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di New Zealand.
Dua pelajar meninggal dunia iaitu Megat Ashman Aqif dan Wan Nur Adlina Alisa sementara tiga lagi cedera iaitu Nur Firas Wafiyyah, Lya Issable Anak Walton dan Muhammad Faris.
Sementara itu, ibu kepada Lya Issable tidak mahu memberikan ulasan berikutan emosinya masih dalam keadaan tidak stabil. – UTUSAN










