KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengesahkan artis wanita yang membuat persembahan di hadapan khalayak sudah dipanggil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah berkata, tindakan itu bagi merekodkan keterangan berkait perkara tersebut sebagaimana tular di media sosial sebelum ini.
“Kita (kerajaan negeri) menyerahkan kepada jabatan berkenaan untuk membuat siasatan lanjut. Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) kita akan memanggil penganjur kerana tidak mempunyai permit dan lesen persembahan secara terbuka.
“Kalau melibatkan premis seperti sekolah kita boleh berunding dan bagi nasihat,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Menandatangani Kerjasama Strategik Arika@Kubang Kerian di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan sedang mengesan penganjur program majlis hari raya melibatkan persembahan artis wanita menyanyi di pentas yang menyalahi peraturan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah berkata, sebaik sahaja menerima maklumat tersebut pihaknya terus menjalankan siasatan ke atas individu di belakang tabir.
Menurutnya, majlis tersebut berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri keempat.
Ujarnya, pada masa sama syarikat penganjur yang terlibat akan disenarai hitam.-UTUSAN










