PETALING JAYA: Punca nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan kesemua 10 kru berkemungkinan dapat dikenal pasti dengan mudah.
Bekas Ketua Juruterbang Serantau Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, ini kerana kemalangan itu berlaku secara jelas.
Oleh itu, katanya, sebab-sebab tertentu boleh disimpulkan untuk merungkaikan nahas berkenaan.
“Pertamanya, kejadian depan mata dan bangkai pun di situ. Seterusnya, rekod penggunaan pesawat, juruterbang ada dengan mereka (TLDM) serta tujuan penerbangan pun mereka buat.
“Jadi, pada pandangan saya, tidak susah mahu rungkai (sebab kejadian),” katanya.
Susulan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin memberi jaminan, satu lembaga siasatan kejadian ditubuhkan TLDM dibantu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pasukan Ketua Pengarah Teknikal Kelayakan Udara (DGTA).
Katanya, hasil siasatan kejadian itu akan diumum apabila tiba masanya dan kementerian tidak mahu membuat andaian awal kejadian.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kehilangan serentak 10 pegawai dan anggota yang rata-rata berusia bawah 40 tahun adalah kerugian besar kepada pasukan dan negara dan lebih-lebih lagi keluarga mangsa terbabit.
“Kita mengalu-alukan siasatan disegerakan dan membatalkan sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM Ke-90 yang dijadualkan Jumaat ini dan digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat,” katanya. – UTUSAN










