Kebakaran di Pusat Kualiti Alam terkawal, penduduk tidak perlu bimbang - Utusan Malaysia

Kebakaran di Pusat Kualiti Alam terkawal, penduduk tidak perlu bimbang

S. VEERAPAN ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Cenviro di Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk yang berada sekitar kawasan Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam diharapkan untuk tidak berasa gusar berkenaan keadaan kesihatan mereka susulan kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan itu petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, hasil pemantauan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan siasatan oleh pihak bomba mendapat kawasan berkenaan kini selamat dan terkawal.

“JAS sudah sampai dan bomba juga masih membuat siasatan lagi, keadaan memang sudah terkawal, air yang disiram untuk memadam kebakaran juga kami telah minta ia untuk dirawat terlebih dahulu di loji rawatan air sebelum proses seterusnya dilakukan.

“Kami akan pantau juga keadaan udara di kawasan sekeliling supaya ia di bawah kawalan bagaimanapun setakat ini tiada apa-apa isu. Saya rasa penduduk tidak perlu bimbang kerana keadaan udara memang baik.

“Namun begitu, sekiranya penduduk sekitar ada apa-apa isu berkaitan keadaan air dari Pusat Kualiti Alam atau kesan udara, mereka boleh ke klinik berdekatan untuk pastikan kesihatan mereka. Setakat ini saya tidak menerima apa-apa aduan dan laporan daripada penduduk mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dan menerima taklimat daripada Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro Sdn. Bhd. (Cenviro) Dr. Johari Jalil berkenaan kejadian tersebut hari ini.


KEJADIAN kebakaran yang berlaku di Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam, Ladang Tanah Merah, Bukit Pelanduk, Port Dickson petang semalam-GAMBAR/IHSAN BOMBA.

Sementara itu, Veerapan memberitahu, pihaknya dimaklumkan kejadian berlaku di kawasan pengumpulan bahan sisa berjadual dan kebakaran tercetus hasil tindak balas kira-kira 160 kilogram bahan kimia klorida yang berada di situ.

“Saya dimaklumkan anggaran kerugian adalah sekitar RM8 juta susulan di bahagian bumbung kawasan itu juga terdapat fasiliti solar,” katanya lagi.

Sementara itu, Johari menerusi kenyataan memaklumkan, kesemua 86 orang pekerja syarikat itu selamat dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.40 petang semalam itu.

“Kebakaran bermula di kawasan simpanan terpencil dan berjaya dikawal oleh bomba serta pasukan Kebakaran dan Hazmat Kualiti Alam sekitar pukul 8.20 malam. Ia hanya menjejaskan sebahagian kapasiti pergudangan dan tidak memberi kesan kepada operasi harian fasiliti Pusat Pengurusan Sisa (WMC) kami.

“Punca kebakaran masih belum dipastikan dan kami kini sedang bekerjasama dengan bomba, JAS, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Siasatan penuh sedang dijalankan.

“Kami juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memastikan keselamatan fasiliti sebelum kami mula semula operasi, serta untuk melindungi kebajikan pekerja dan komuniti sekitar,” katanya.

Beliau turut memberitahu pihaknya sentiasa memantau kualiti udara dan bacaan gas di tapak dan kawasan sekitarnya dan setakat ini tiada bacaan tidak normal dicatatkan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN