KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Park Jaehong enggan mengambil perlawanan menentang Sri Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok walaupun ia sekadar pemanas badan sebelum saingan Liga Super bermula.
Jaehong sebaliknya berkata, dia mahu menjadikan perlawanan tersebut kesempatan terbaik menilai dan menguji kemampuan barisan pemain yang dibentuk untuk aksi musim ini.
Menurutnya, berdepan lawan yang lebih berpengalaman dia menuntut barisan pemain untuk memberikan aksi terbaik.
“Kami gembira apabila bakal menerima sebuah kelab yang bagus untuk persiapan kami.
“Melalui pertemuan ini KDN FC mendapat satu perlawanan yang sangat kompetitif sebagai medan menguji kemampuan sebenar sebelum sepak mula Liga Super tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jaehong enggan memikirkan siapa akan membarisi kesebelasan utama untuk perlawanan tersebut.
Katanya, dia terlebih dahulu akan membuat analisa untuk memastikan pemain bersedia mengharungi pertemuan itu.
“Barisan kejurulatihan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan memandangkan kami hanya melalui satu perlawanan pra musim sebelum ini berbanding Sri Pahang yang telah mengatur banyak aksi pra musim,” ujarnya.-UTUSAN









