Jaga diri, belajar bersungguh-sungguh pesanan terakhir ibu - Utusan Malaysia

Jaga diri, belajar bersungguh-sungguh pesanan terakhir ibu

NUR Alwani Fatihah dan abangnya, Muhd Alif Farhan ditenangkan oleh ibu saudara mereka ketika ditemui di Selama. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: ‘Jaga diri dan belajar bersungguh -sungguh. Itu pesanan terakhir umi sebelum dia menyertai acara raptai lintas hormat di TLDM Lumut’.

Demikian kata Nur Alwani Fatihah Muhd Faizul,12, anak kedua Pegawai Waran II, Nurfarahimi Mohd Suady,41, antara 10 anggota Tentera Laut Diraya Malaysia (TLDM) yang maut dalam kejadian helikopter terhempas di Lumut semalam.

Nur Alwani Fatihah berkata, ibunya memberikan pesanan itu pagi semalam sebelum menyertai acara raptai tersebut.

“Sebelum ini umi tidak pernah berpesan begitu, biasanya dia hanya bersalaman dan terus pergi kerja.

“Tapi rasa agak pelik bila umi berpesan begitu dan ketika di sekolah rasa tak sedap hati sehinggalah abang saya, Muhd Alif Farhan,16, datang beritahu tentang kejadian yang menimpa umi

“Pesanan umi masih terngiang-ngiang di telinga kami adik beradik. Kami tidak menyangka itu merupakan pesanan terakhir Ummi,,” katanya.

Dia ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Banggol Jas, Rantau Panjang, Selama di sini semalam.

Sementara itu, kakak Nurfarahimi, Norlaida, 55, berkata, Allahyarhamah adiknya merupakan anak keempat daripada lima beradik.

Katanya, adiknya sempat merakam video suasana pemandangan dari atas helikopter dan menghantar dalam kumpulan aplikasi WhatsApp keluarga sebelum tragedi.

“Saya terdiam dan tidak tahu nak kata apa setelah mendapat berita helikopter yang dinaiki adik saya terhempas sehingga meragut nyawanya namun begitu saya reda dan menerima ketentuan takdir,” katanya.

Menurut Norlaida, kali terakhir dia bersua muka dengan adiknya itu pada Hari Raya kedua baru-baru ini ketika mereka sekeluarga datang berkunjung ke rumahnya di sini.

“Dia seorang yang sentiasa ceria namun kepulangan pada Hari Raya lalu dia lebih banyak mendiamkan diri dan sentiasa sibuk dengan telefon bimbitnya daripada berbual dengan ahli keluarga seperti kebiasaan yang dia dilakukan sebelum ini.

“Sungguh tak sangka sikap yang ditunjukkan itu merupakan petanda yang dia akan pergi meninggalkan kami selamanya,” katanya.

Sementara itu, jenazah Nurfarahimi akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Damak Sungai Bayor di sini atas permintaan suaminya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN