SEREMBAN: Umat Islam di negara ini diajak menghayati konsep tetamu Allah sempena musim haji 1445 Hijrah yang dijadualkan pada pertengahan Jun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia termasuk dalam kalangan mereka yang tidak terpilih menunaikan ibadah yang menjadi rukun Islam tersebut walaupun telah menunggu untuk tempoh masa lama.
Beliau berkata, umat Islam yang tidak terpilih perlu menganggap bahawa ia adalah ketentuan daripada Allah SWT manakala mereka yang terpilih mesti bersiap sedia untuk menjalani ibadah tersebut.
“Sebagai tetamu Allah, para jemaah yang pergi ke tanah suci perlu bersabar dengan apa yang akan mereka tempuhi sepanjang menunaikan ibadah haji.
“Dalam hal ini, saya ingin mengingatkan para jemaah supaya tidak berkongsi apa-apa masalah atau perkara tidak menyenangkan di media sosial sepanjang berada di tanah suci,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri sembilan bagi musim haji 1445H/2024M di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Pengurusan Haji, Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Mohamed Heikal Mohamed Yusuff.
Seramai 1,130 orang bakal jemaah haji dari negeri ini telah mengambil bahagian dalam kursus perdana tersebut yang dianjurkan oleh TH selama dua hari bermula semalam.
Lebih 31,000 umat Islam negara ini termasuk 1,300 jemaah dari negeri ini dijangka menunaikan ibadah haji musim ini dengan penerbangan pertama ke tanah suci akan bermula pada 9 Mei ini.
Aminuddin berkata, para jemaah haji perlu mengelak perkongsian mengenai perkara tidak menyenangkan itu sama ada ia melibatkan mereka sendiri, orang di sekeliling mereka atau para petugas TH.
“Sebab itu saya merujuk kepada konsep tetamu Allah kerana kita berada di tanah suci atas keizinan dan kehendak tuhan.
“Ada orang yang mendapati perjalanan mereka lancar sejak awal dan ada yang melalui detik sukar. Ia berbeza antara setiap individu kerana kita berada di tanah suci sebagai tetamu Allah,” ujarnya.
Beliau turut mengajak bakal jemaah haji musim ini untuk mengukuhkan amalan saling bantu membantu semasa menunaikan ibadah itu kelak.
Katanya, kerjasama itu penting supaya semua jemaah dapat menjalani rukun haji dengan sempurna.
“Sebagai satu keluarga besar dari Malaysia, kita hulurkan bantuan kepada mana-mana jemaah yang berdepan dengan kesukaran seperti sakit atau tidak berdaya tanpa menunggu bantuan daripada para petugas TH,” katanya.-UTUSAN.










