KOTA BHARU: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diberkas selepas mengambil laporan perubatan di sebuah hospital swasta di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek telah membuat pemeriksaan tersebut lebih awal, iaitu seminggu sebelum kejadian.
Menurutnya, ketika itu suspek dari Arab Saudi telah singgah di Bangkok sebelum memasuki negara melalui sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
“Masih terlalu awal untuk saya katakan bahawa laporan perubatan itu digunakan untuk permohonan visa.
“Siasatan mendapati dia pernah datang ke hospital ini untuk membuat pemeriksaan kesihatan sebelum kejadian tembakan. Suspek datang ke hospital itu untuk mengambil laporan kesihatan yang dikatakan sudah siap,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mohd. Shuhaily memberitahu, keadaan fizikal dan mental suspek juga dilihat normal semasa dia ditahan. – UTUSAN









