KOTA BHARU: Suspek yang disyaki melepaskan tembakan ke arah isterinya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibawa ke Mahkamah Kota Bharu hari ini untuk permohonan sambung reman.
Hafizul Hawari, 38, tiba dipekarangan Mahkamah Kota Bharu pada pukul 8.35 pagi dengan kawalan ketat oleh anggota polis dari Unit D9 (Bahagian Siasatan Jenayah Berat) lengkap bersenjata.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dilihat tenang.
Proses sambung reman terhadap Hafizul bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Hafizul ditahan polis di hadapan sebuah hospital swasta di sini.
Semasa ditahan, polis menjumpai dan merampas sepucuk pistol yang digunakan suspek semasa melepaskan tembakan di KLIA.-UTUSAN










