PUCHONG: Kesibukan mencari maklumat, ilmu dan hiburan dalam dunia digital menerusi telefon bimbit dan komputer riba menjadikan majalah, surat khabar dan buku sudah tidak lagi menjadi tatapan untuk dirujuk.
Malah, khazanah dalam bentuk kertas itu semakin lama semakin dilupakan oleh generasi muda sehinggakan ada toko buku terpaksa ditutup dan perpustakaan bukan lagi menjadi pilihan persinggahan mereka.
Budaya membaca sekadar untuk mengisi masa lapang, bukan lagi satu amalan harian sehingga dewasa atau mencecah usia tua.
Namun, berbeza dengan seorang warga emas berbangsa Cina apabila menjadikan minatnya yang suka membaca buku untuk dikongsi bersama masyarakat setempat.
Di sebuah taman rekreasi terletak di Puchong, Selangor, dia masih menghargai dan menjaga rapi bahan-bahan bacaan yang dikongsinya dengan orang ramai.
Minat lelaki yang ‘gila’ membaca itu bukan sekadar memberikan manfaat kepada dirinya sendiri.
Malah, minat tersebut turut dikongsi bersama masyarakat setempat di sekitar Taman Rekreasi Wawasan di sini apabila sanggup membuka ‘perpustakaan awam’ dengan menggunakan tenaga dan modal sendiri.
Kecintaannya terhadap ilmu melalui pembacaan diterjemahkan dengan mewujudkan perpustakaan mini di taman rekreasi tersebut yang terletak berdekatan rumahnya.
Lebih mengagumkan, perpustakaan yang dibuka 24 jam itu diuruskan olehnya sendiri dan menerima kehadiran sesiapa sahaja tanpa mengenakan sebarang caj.
Lazimnya, taman rekreasi adalah tempat bagi orang ramai untuk beriadah, akan tetapi susuk tubuh ramping dan berusia yang juga mengalami masalah pendengaran dan penglihatan itu mempunyai pandangan berbeza mengenai budaya membaca dalam dirinya.
Lee Kim Siew, 89, merupakan bekas guru besar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chi Wen di Bahau, Seremban.
Dia mempunyai koleksi peribadi lebih 60,000 buku di rumahnya.
Melalui minatnya yang suka membaca, dia mula mendapat idea untuk menjadikan taman rekreasi di sini sebagai pusat untuk memupuk budaya membaca kepada orang awam.
Menceritakan detik awal ketika mula membuka perpustakaan mini tersebut, Kim Siew memberitahu, pada mulanya hanya sebuah sahaja didirikan pada 2020.
“Pada awalnya saya meletakkan beberapa koleksi buku sebagai permulaan kepada objektif untuk memupuk orang awam yang datang ke taman rekreasi membaca buku selain beriadah.
“Saya tidak meletakkan sebarang bayaran bagi orang awam mendapatkan buku untuk dibaca atau dipinjam,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Susulan itu, dia mula dikenali oleh orang ramai di sekitar taman rekreasi sebagai ‘Pak Cik Perpustakaan’ sehingga mendapat bantuan daripada majlis perbandaran untuk memperluaskan impiannya.
“Kemudian, saya mendapat bantuan sumber daripada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16, Majlis Perbandaran Subang Jaya untuk membina empat lagi perpustakaan mini di sini.
“Dahulu, perpustakaan ini tidak mempunyai bumbung seperti sekarang. Jadi, saya perlu melapik dan menutup buku menggunakan plastik sekiranya hujan,” katanya.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati ada lima perpustakaan mini dalam taman berkenaan dibina menggunakan bumbung zink beserta rak buku diperbuat daripada bekas polisterin.
RUTIN HARIAN
Berbeza dengan kebanyakan warga emas lain yang menikmati hidup persaraan dengan berehat, Kim Siew tampil mengamalkan rutin harian tersendiri dengan menyelenggara perpustakaan miliknya.
Hampir mencecah usia 90 tahun, dia memulakan rutin hariannya antara pukul 8 dan 10 pagi dengan berjalan kaki sambil bertongkat ke taman rekreasi tersebut.
Pakaiannya yang sentiasa kemas dengan kemeja dan berseluar pendek membolehkannya mudah didekati orang ramai.
Terdapat empat perpustakaan mini terletak di kawasan taman rekreasi itu, iaitu berdekatan gelanggang bola jaring dan futsal manakala sebuah lagi di bahagian berbukit.
“Saya datang ke sini seorang diri pada waktu pagi untuk menyapu halaman, menyusun buku dan mengecop buku yang disumbangkan oleh orang ramai sehingga sekitar pukul 3 petang.
“Sambil berehat, saya akan duduk membaca buku untuk mengisi masa lapang selain menyapa orang awam yang hadir ke perpustakaan sebelum pulang ke rumah.
“Kebiasaannya saya akan pergi pada setiap perpustakaan di sini tetapi disebabkan kaki dan lutut saya sudah mula sakit, kadang kala saya hanya pergi yang ada di atas bukit berhampiran rumah,” katanya.
Ujarnya, terdapat juga orang awam yang sudi membantu dirinya menjaga dan mengemas perpustakaan sekiranya kesihatannya tidak baik atau disebabkan cuaca buruk.
Menariknya, perpustakaan milik Kim Siew dibuka 24 jam dengan pengawasan yang minimum membolehkan orang awam membaca dan meminjam pada bila-bila masa.
30,000 BUKU
Setiap perpustakaan yang berada di taman rekreasi itu mempunyai pelbagai jenis buku, majalah serta akhbar tempatan untuk semua peringkat umur.
Menurut Kim Siew, ketika ini terdapat lebih daripada 30,000 buku dan majalah secara keseluruhan hasil sumbangan orang ramai termasuk dirinya.
Jelasnya, banyak pihak memberinya buku untuk diletakkan di perpustakaan sehingga ada yang mencecah 4,000 buku seorang.
“Pada setiap perpustakaan terdapat pelbagai jenis buku. Terdapat buku pendidikan seperti kamus dan buku latihan sekolah sehingga buku bacaan novel fiksyen dan bukan fiksyen serta buku kanak-kanak.
“Buku-buku di sini adalah sumbangan orang ramai dan kebanyakannya adalah buku bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.
“Buku bahasa Melayu kurang di sini disebabkan tidak ramai yang menyumbang tetapi paling mendapat permintaan daripada pengunjung.
“Dengan pelbagai jenis buku, orang awam boleh datang ke sini untuk membaca. Mereka juga boleh meminjam buku yang ada untuk dibawa pulang,” katanya.
Dia menjelaskan, tiada had bilangan kepada mana-mana buku yang ingin dipinjam.
“Mereka boleh pinjam sehingga 30 buah buku atau lebih sekiranya mereka mahu. Jika ingin pulangkan buku selepas lima atau enam tahun kemudian juga tiada masalah bagi saya.
“Mereka juga boleh mengambil terus buku yang dipinjam cuma tidak digalakkan kepada buku yang mempunyai cop nama saya,” katanya.
Kebanyakan buku yang boleh dipinjam oleh orang awam sehingga boleh menjadi milik sendiri adalah buku yang tidak mempunyai cop tanda nama Kim Siew pada bahagian tepi buku.
Selain daripada menyumbang buku peribadinya di sini, Kim Siew juga menyumbang buku kepada perpustakaan di Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor.
Dia juga pernah menyumbang buku kepada perpustakaan berpusat di Thailand dan China.
KEBIMBANGAN DAN HARAPAN
Usia Kim Siew yang sudah lanjut membuatkannya bimbang sekiranya tiada orang lain yang mampu untuk meneruskan impiannya menjadikan setiap taman atau kampung mempunyai satu perpustakaan.
Meskipun pada era digital ini, bahan bacaan pelbagai medium boleh didapati melalui dalam talian, namun baginya amat penting supaya orang ramai boleh membaca buku secara fizikal di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Justeru, dia berharap agar impiannya dapat dicapai untuk menjadikan sebuah penempatan mempunyai sekurang-kurangnya satu perpustakaan bagi membolehkan budaya membaca itu tidak sukar dan sangat mudah untuk diakses kepada orang ramai tidak kira latar belakang.
STATISTIK BUDAYA MEMBACA
Berdasarkan statistik Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang menilai pengetahuan dan kemahiran pelajar berumur 15 tahun, kira-kira 42 peratus pelajar di Malaysia sekadar mencapai tahap dua atau lebih tinggi dalam bacaan iaitu dengan skor 58 peratus.
Skor tersebut dikira sebagai tinggi jika dibandingkan dengan 39 negara lain dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang mencatatkan purata 26 peratus sahaja.
Ia sekali gus membuktikan rakyat Malaysia masih kurang memupuk budaya membaca dalam kalangan anak muda yang mana ia perlu diberi perhatian.
Sebelum ini media melaporkan dengan memetik statistik Indeks Skor Budaya Sedunia (WCSI) yang menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca kurang dari tiga jam seminggu.
Ia menjadikan rekod purata amalan membaca rakyat Malaysia kurang memberangsangkan iaitu antara 15 hingga 20 buku setahun sahaja. – UTUSAN










