PUTRAJAYA: Selangor berisiko mengalami bencana buruk kesan daripada kemusnahan alam sekitar jika pembangunan yang dirancang di Kawasan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) tidak dilaksanakan secara terkawal.
SACF adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) seluas 406 hektar didakwa bakal terbelah dua selepas terdapat kerja-kerja pembinaan laluan di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, risiko bencana seperti banjir besar boleh berlaku sama seperti Kelantan apabila kerajaan negeri berkenaan mahu mengubah suai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) membabitkan keluasan 514,898 hektar.
NILAI
Dalam hal ini, beliau meminta semua kerajaan negeri melihat kepada nilai untuk mengekalkan hutan walaupun proses perbandaran berlaku bagi tujuan pembangunan dan penempatan penduduk.
Katanya, apa sahaja tindakan yang dibuat kerajaan negeri perlu berbincang dengan pihak komuniti setempat untuk melihat cara terbaik demi mengurangkan kesan-kesan kepada alam sekitar sekiranya terpaksa juga melaksanakan pembangunan.
“Begitu juga tentang nilai yang ada pada hutan-hutan di kawasan bandar. Misalnya, banyak lagi biodiversiti dan hidupan-hidupan liar yang ada, kita harap perkara itu dapat diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.
“Kalau tidak dibuat secara terkawal akan ada impak. Sebab itu, sebarang langkah pembangunan perlu dirancang dengan baik dan dibincang dengan pihak komuniti untuk memastikan kesan minimum kepada alam sekitar.
“Ini soal legasi sebab ia melibatkan keputusan yang dibuat sebelum ini (penyahwartaan HSKBC) tetapi kita pantau secara dekat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Pembinaan laluan di SACF dipercayai boleh menyebabkan saiz hutan di situ yang sebahagiannya masih dalam semakan undang-undang di mahkamah semakin mengecil dan memusnahkan habitat haiwan liar di situ.
DIGANTI
Pada 2022, Kerajaan Selangor meluluskan penyahwartaan kira-kira 406.22 hektar HSKBC secara mengebelakangkan tarikh atau backdated sehingga November 2000 menyebabkan semakan undang-undang diambil oleh SACF bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) apabila proses tersebut didakwa tidak diganti dan tiada pendengaran awam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, HSKBC yang pada asalnya seluas kira-kira 12,892 hektar sudah pun dinyah warta sebanyak 21 kali dalam tempoh 96 tahun sejak 1924.
HSKBC digazet sebagai hutan simpan sejak 3 Mac 1909 oleh Kerajaan British.
Nik Nazmi berkata, nilai kepada hutan-hutan bandar perlu dilihat dalam konteks mencegah banjir kerana ia berupaya menyerap air dan mampu meredakan suhu ketika musim panas.
Pada masa sama, katanya, Bukit Cerakah masih lagi hutan dara dan boleh digazetkan sebagai taman rekreasi seperti mana Bukit Kiara dan Bukit Dinding di kawasan Setiawangsa yang satu ketika dahulu merupakan ladang-ladang getah.
DITEBANG
“Kita faham bila kawasan perbandaran, banyak ditebang hutan. Bila buat banyak bangunan-bangunan konkrit, suhu lebih tinggi. Jadi hutan bandar ini dapat membantu menyederhanakan suhu yang ada selain dijadikan kawasan rekreasi.
“Kita kena menghargai walaupun ada pembangunan di sekeliling, tak semestinya kena tebang habis atau hanya kena buat taman, tetapi kalau dikekalkan dalam bentuk hutan bandar, ia masih memberi nilai yang besar kepada masyarakat sekeliling,” katanya. – UTUSAN









