SEREMBAN: AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON BiG) satu daripada rangkaian pasar raya besar terkemuka Malaysia menyasarkan peningkatan hasil jualan sebanyak empat hingga lima peratus menerusi pembukaan cawangan baharu yang ke-22 di Seremban dan menerusi pertambahan sebuah lagi cawangannya tahun ini.
Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, tahun lepas pihaknya mencatatkan hasil jualan lebih RM1 bilion dan optimis sasaran tahun ini juga mampu dicapai berdasarkan kepada sokongan pelanggan terhadap pasar raya besar itu.
“Selepas pembukaan cawangan ke-22 di Seremban, akan ada pertambahan sebuah lagi cawangan baharu yang bakal dibuka pada Disember ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 23 cawangan.
“Pada tahun depan pula, sekurang-kurangnya dua cawangan baharu akan dibuka selain kami turut menyasarkan pembukaan cawangan di negeri yang belum mempunyai AEON BiG,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pasar Raya Besar AEON BiG ke-22 di Pusat Beli Belah Palm Mall, Seremban semalam.
Yang hadir sama merasmikan cawangan pasar raya besar itu ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengerusi AEON Co. (M) Bhd., Datuk Iskandar Sarudin.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pembukaan cawangan baharu di Seremban itu, Sheikh Farouk berkata, ia merupakan pencapaian signifikan bagi AEON BiG kerana merupakan perluasan rangkaiannya yang pertama semenjak tahun 2020.
“la juga menandakan ‘kepulangan’ AEON BiG ke Negeri Sembilan selepas sembilan tahun. Pembukaan cawangan baharu ini juga mencerminkan komitmen AEON BiG dalam menyediakan pengalaman membeli-belah premium dengan harga berpatutan, sekali gus memenuhi keperluan serta permintaan pelanggan.
“Kami sangat gembira untuk mengumumkan pembukaan cawangan ke-22 di Seremban, sebuah kawasan baharu dan ini menunjukkan komitmen kami untuk berkhidmat untuk rakyat Malaysia di mana jua.
“Falsafah kami adalah mengutamakan pelanggan dan kami berharap bahawa pembukaan ini juga akan membawa impak positif kepada pembangunan peruncitan tempatan dan ekonomi bagi Seremban dan kawasan sekitarnya,” ujar beliau.
Bersempena dengan pembukaan tersebut, AEON BiG di Palm Mall, Seremban turut menawarkan promosi istimewa selama tiga hari untuk produk terlarisnya dari sehingga 7 April.
Sementara itu, pada majlis tersebut, turut diadakan sumbangan bantuan dalam bentuk AEON BiG Gift Card kepada 60 buah keluarga kurang berkemampuan.
Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) AEON BiG yang dijayakan dengan kerjasama pertubuhan amal, Empire Project.










