PETALING JAYA: Petugas Khas Pemantauan Kluster Makanan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mendakwa daripada 100 lokasi yang dikatakan menjual beras putih tempatan pada harga RM26, hanya 15 lokasi didapati menjual beras gred tersebut, itupun dalam jumlah yang sedikit.
Ketuanya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, setiap 15 lokasi tersebut didapati menjual 100 hingga 200 kampit sahaja.
“Dengan bilangan yang terhad, permintaannya sangat tinggi membuatkan beras tersebut seperti pisang goreng panas dan mustahil untuk dapat harga tersebut sekali lagi.
“Sudah enam bulan kita ketiadaan stok beras putih tempatan, sudah tentu apabila ia dijual pada harga begitu, ramai berpusu-pusu beli. Namun, pasar raya mengehadkan pembelian maksimum dua kampit beras untuk satu keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Syed Abu Hussin menggesa Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya mengedar beras tempatan ke seluruh negara susulan ketiadaan bekalan tersebut di kebanyakan pasar raya.
Beliau juga mengarahkan semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz memberitahu, harga beras sekampit RM26 itu sudah tidak logik pada hari ini.
“Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood memberi jaminan akan mengedarkan beras putih tempatan, namun apa yang terjadi kini menghampakan.
“Saya anggap beras putih tempatan pada masa kini sudah ‘tidak wujud’,” katanya. – UTUSAN











