Bekas penghuni setinggan lega diberi perhatian

Bekas penghuni setinggan lega diberi perhatian

(Dari kiri) HASNAN Mat Konik, Faridah Hasan dan Nooraini Noor gembira menjadi antara 30 peserta yang menerima surat tawaran PPPS disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. – UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Kegembiraan terpancar di raut wajah Hasnan Mat Konik, 63, kerana bakal memasuki rumah baharu setelah hampir 10 tahun menanti.

Warga emas itu dan isterinya, Faridah Hasan, 61, adalah antara 30 penerima surat tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) yang membolehkan mereka tinggal di rumah sendiri selepas tidak lagi menduduki setinggan di rizab Sungai Kerian, Parit Buntar, Perak.

Tawaran PPPS itu membolehkan pasangan berkenaan kembali ke Parit Buntar untuk menduduki rumah pangsapuri Rumah Perakku @ Parit Buntar di Taman Kerian Putra.

“Saya sangat bersyukur. Akhir­nya dapat kembali ke sini setelah hampir 10 tahun menanti,” katanya.

PPPS adalah inisiatif Kerajaan Negeri Perak untuk melengkapkan ekosistem perumahan iaitu ketersediaan, mampu dimiliki dan kemudahan pembiayaan.

Pinjaman itu merupakan pembiayaan perumahan tanpa faedah yang ditawarkan kepada pembeli untuk memiliki rumah tanpa syarat membebankan.

MAMPU MILIK

Usaha itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat di bawah flagship ke­dua iaitu Perumahan Sejahtera di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ia bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak layak dan tidak menepati syarat mendapat pinjaman bank serta tidak memiliki tanah boleh memiliki kediaman sendiri.

“Impian kami selama ini telah berjaya untuk mendapatkan kediaman. Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Saarani yang mengusahakan perkara ini,” katanya yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Seorang lagi penerima tawaran, Nooraini Noor turut melahirkan rasa syukur dan lega atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka semua walaupun sudah bertahun-tahun tidak lagi tinggal di situ.

“Rata-rata daripada kami sudah berusia dan tidak lagi bekerja. Maka bantuan ini memudahkan kami,” katanya.

Selasa lalu, Saarani menyampaikan surat tawaran PPPS kepada 30 peserta yang merupakan penduduk setinggan di rizab Sungai Kerian yang dipindahkan bagi pelaksanaan rancangan tebatan banjir.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak melalui Yayasan Perak untuk me­laksanakan program PPPS.

Tempoh bayaran balik pinjaman adalah selama 25 tahun tanpa had umur peminjam dan keper­luan penjamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN