Bazar Aidilfitri rai anak-anak yatim - Utusan Malaysia

Bazar Aidilfitri rai anak-anak yatim

Bazar Aidilfitri
AZLA Ibrahim menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dekat Bazar Aidilfitri Jalan Taiping di Klang, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Selain meriah dikunjungi orang ramai, bazar Aidilfitri di pusat bandar ini turut meraikan anak-anak yatim dan gelandangan untuk memastikan suasana menjelang Hari Raya dapat dirasai semua yang berkunjung.

Baru-baru ini, Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Nur Ikhswan dari Bandar Bukit Raja diraikan oleh Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bazar Aidilfitri Bandaraya Diraja Klang.

Menurut yang dipertua persatuan tersebut, Datuk Azla Ibrahim, selain peniaga mencari pendapatan dengan berniaga sempena musim perayaan, aktiviti lain turut dilakukan termasuklah melakukan kebajikan terutama pada hari-hari terakhir Ramadan.

“Pertama kali persatuan ini ditubuhkan maka kami menganjurkan satu program bulan Ramadan ini, untuk kami buka ruang kepada anak-anak yatim mendapat sumbangan daripada semua peniaga dan pengunjung bazar Aidilfitri di Jalan Taiping Klang khususnya.

“Selain acara malam ini kami juga ada mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung-pengunjung, tetamu dan peniaga pada Jumaat pertama,kedua dan ketiga,” katanya ketika ditemui.

Azla berkata, program yang diadakan adalah sesuatu yang bersejarah yang mana pihak persatuan, buat julung-julung kalinya menyantuni golongan gelandangan dan anak-anak yatim di bandaraya tersebut.

Katanya lagi, pihak persatuan komited untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam usaha menjadikan Bandaraya Diraja Klang lebih kondusif untuk semua pihak terutama peniaga kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN