SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan menjadi yatim piatu selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Jalan Persiaran Forest Heights 1, Forest Heights di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Aswan Sulaiman, 29, dan isterinya, Nur Khairunnisya Samsudin, 23, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut bapa, Allahyarham Nur Khairunnisya, Samsudin Basirun, 52, berkata, dia dihubungi oleh polis memaklumkan kejadian kemalangan menimpa anak bongsunya itu sekitar pukul 7.52 pagi.
Namun dia pada mulanya beranggapan kemalangan tersebut hanyalah kemalangan biasa.
“Tetapi kedua-duanya (anak dan menantu) sudah tiada. Saya terus saya ke tempat kejadian dari tempat kerja saya, saya baru sahaja bersahur bersama mereka pagi tadi.
“Mereka memang teruja membuat persiapan untuk pulang berhari raya di Sabah iaitu kampug menantu saya, kerana sejak berkahwin setahun lalu, mereka belum pernah pulang ke sana. Mereka sudah membeli tiket kapal terbang untuk pulang sehari sebelum sambutan hari raya Aidilfitri, baju raya juga sudah mereka beli,” katanya.
Dia ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.

Samsudin berkata, mereka kini akan menguruskan kedua-dua jenazah tersebut yang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Saliman Taman Zaitun Indah manakala, anak pasangan terbabit yang merupakan cucu keduanya akan dijaga oleh mereka sekeluarga.
“Memang sedih, mereka ni memang mesra dan suka tolong adik-beradik, anak perempuan mereka iaitu Aisy Najah Aswan rapat dengan neneknya, isteri saya yang jaga,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Hatta Che berkata, kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggangi pasangan suami isteri tersebut dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, remaja perempuan itu memandu kereta datang dari arah Seremban Jaya menghala ke sebuah kolej tingkatan enam di Forest Heights.
“Apabila sampai di lokasi pemandu kereta telah membelok ke simpang kanan menuju ke Persiaran Forest Heights 2 dan tiba-tiba motosikal yang datang dari arah bertentangan telah melanggar sisi kiri kenderaan.
“Akibat kemalangan penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di nombor 014-9668399 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-UTUSAN.










