Bayi 8 bulan jadi yatim piatu sekelip mata

Bayi 8 bulan jadi yatim piatu sekelip mata

SAMSUDIN Basirun (kanan) mendukung Aisy Najah Aswan di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HTJS selepas cucunya itu menjadi anak yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapanya maut dalam kemalangan di Persiaran Forest Heights 1, Forest Heights, Seremban. -FOTO/ NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan menjadi yatim piatu apabila ibu bapanya meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Jalan Persiaran Forest Heights 1, Forest Heights di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Aswan Sulaiman, 29, dan isterinya, Nur Khairunnisya Samsudin, 23, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut bapa Allahyarham Nur Khairunnisya, Samsudin Basirun, 52, dia dihubungi oleh polis memaklumkan kejadian kemalangan menimpa anak bongsunya itu sekitar pukul 7.52 pagi.

PASANGAN suami isteri, Allahyarham Aswan Sulaiman dan Nur Khairunnisya Samsudin yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Persiaran Forest Heights 1, Forest Heights, Seremban. -FOTO/ NOR AINNA HAMZAH.

Namun dia pada mulanya beranggapan kemalangan tersebut hanyalah kemalangan biasa.

“Tetapi kedua-duanya (anak dan menantu) sudah tiada. Saya terus ke tempat kejadian dari tempat kerja saya. Saya baru bersahur bersama mereka pagi tadi.

“Mereka memang teruja membuat persiapan untuk pulang berhari raya di Sabah iaitu kampung menantu saya, kerana sejak berkahwin setahun lalu, mereka belum pernah pulang ke sana. Mereka sudah beli tiket kapal terbang untuk pulang sehari sebelum hari raya Aidilfitri, baju raya juga sudah mereka beli,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik,

Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, semalam.

Samsudin berkata, mereka akan menguruskan kedua-dua jenazah tersebut yang bakal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Saliman Taman Zaitun Indah manakala, anak pasangan terbabit iaitu cucu keduanya akan dijaga oleh mereka sekeluarga.

“Memang sedih, mereka ni memang mesra dan suka tolong adik-beradik, anak perempuan mereka iaitu Aisy Najah Aswan rapat dengan neneknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Hatta Che berkata, kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggangi pasangan suami isteri tersebut dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, remaja perempuan yang memandu kereta datang dari arah Seremban Jaya menghala ke sebuah kolej tingkatan enam di Forest Heights.

“Apabila sampai di lokasi pemandu kereta telah membelok ke simpang kanan menuju ke Persiaran Forest Heights 2 dan tiba-tiba motosikal yang datang dari arah bertentangan telah melanggar sisi kiri kenderaan.

“Akibat kemalangan penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN