Bantuan khas beri manfaat kepada ekonomi negara - CUEPACS - Utusan Malaysia

Bantuan khas beri manfaat kepada ekonomi negara – CUEPACS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM500 termasuk lantikan kontrak secara tidak langsung memberi kesan dan manfaat kepada ekonomi negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi lain.

“Dari sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM500.

Ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan mula dibayar pada Jumaat ini termasuk kepada kakitangan awam lantikan kontrak.

Anwar berkata, bantuan khas sebanyak RM250 pula akan diberikan kepada golongan pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

Menurut Adnan, bantuan tersebut merupakan manifestasi penghargaan Perdana Menteri kepada usaha keras penjawat awam selama ini dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. 

“Pihak kami berharap penjawat awam akan terus memberikan komitmen yang penuh dalam memberikan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN