Banjir: Sebuah PPS dibuka di Linggi - Utusan Malaysia

Banjir: Sebuah PPS dibuka di Linggi

SEBUAH PPS dibuka di Balai Raya Pematang Pasir dekat Linggi, Port Dickson, kejadian banjir kilat yang melanda kawasan sekitar.-GAMBAR/IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Permatang Pasir, dekat Linggi, di sini, selepas kawasan sekitar tersebut dilanda banjir awal pagi tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson, Kapten (PA) Mohd. Azri Abu Hassan berkata, PPS berkenaan dibuka kira-kira pukul 4.08 pagi tadi dan sehingga pukul 9 pagi seramai 46 mangsa dari dua buah keluarga ditempatkan di di situ.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 33 orang terdiri daripada perempuan dewasa, diikuti sembilan lelaki dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Linggi di pekan Linggi sehingga pukul 7 pagi tadi mencatatkan paras bahaya iaitu 3.84 meter berbanding normal 1.5 meter,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Seremban, Mohamad Najib Mustafa berkata, secara keseluruhannya sebanyak 246 buah rumah terjejas kejadian banjir kilat semalam melibatkan 17 kawasan penempatan di daerah ini.

Menurutnya, kawasan terjejas adalah Kampung Sungai Landak, Taman Happy, Kampung Sentosa Jaya, Kampung Sentosa, Kampung Paroi, Kampung Chedang, Kampung Semarak dan Kampung Pasir.

Turut terjejas, rumah penduduk di Kampung Bemban, Kampung Mambau, Taman Dusun Nyior, Kampung Batu 3 Mambau, Kampung Sekolah, Kampung Sega Hilir, Kampung Batu 5 Mambau, Kampung Sri Mantau dan Kampung Dato’ Mansor.

“Selain itu, terdapat satu kejadian tanah runtuh di Paroi membabitkan Jalan Kampung Tok Dagang,” katanya.

Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi pemberitahuan di media sosial memaklumkan, setakat pukul 9 pagi tadi, syarikat itu telah menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Port Dickson susulan hujan dan banjir.

Kawasan yang tidak mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB  demi keselamatan pengguna setempat itu adalah Padat Darul Widad dan Taman Linggi Idaman.

“Sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta bahayakan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat,” kata kenyataan itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN