SEREMBAN: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Negeri Sembilan iaitu di Surau Kampung Nerambai, Lubok China, Rembau susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa daerah di negeri ini lewat petang semalam dan awal pagi tadi.
Menerusi kenyataan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, situasi itu menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang telah dibuka di negeri ini menjadi sebanyak dua buah setakat pukul 2 petang tadi.
Terdahulu, sebuah PPS turut telah dibuka Balai Raya Permatang Pasir, Linggi, Port Dickson pada pukul 4.08 pagi tadi.
“Seramai 10 orang mangsa daripada empat buah keluarga ditempatkan di PPS Surau Kampung Nerambai sejak dibuka pada pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Di PPS Balai Raya Permatang Pasir pula, seramai 60 mangsa dari lima buah keluarga mendapatkan perlindungan di situ. Ini sekali gus menyaksikan terdapat 70 orang mangsa berada di dua buah PPS di negeri ini setakat ini,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan kejadian banjir di kawasan Taman Linggi Idaman dan pekan Linggi berlaku pada pukul 5.30 pagi susulan hujan lebat di kawasan hulu di daerah Seremban dan menyebabkan limpahan air Sungai Linggi, Sungai Solok dan Sungai Tok Alip.
Banjir di kawasan Lubok China dan Kampung Bangsal Atap, Rembau pula berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi susulan hujan lebat di kawasan sekitar dan limpahan air dari Sungai Rembau.-UTUSAN.










